Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

PTAR Shah Alam Sambut Mesra Kunjungan Hormat Fakulti Sains Maklumat

SHAH ALAM, 4 Julai 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam menerima kunjungan hormat daripada barisan pengurusan Fakulti Sains Maklumat (FSM), UiTM Shah Alam dalam satu sesi pertemuan yang berlangsung penuh mesra dan bermakna.

Pertemuan ini bukan sekadar sesi kunjungan, tetapi menjadi medan perbincangan intelektual dan strategik yang membuka ruang kerjasama lebih mantap antara dua entiti penting universiti. Perbincangan tertumpu kepada usaha memperkukuh ekosistem pembelajaran, penyelidikan, dan pembangunan graduan, sejajar dengan komitmen UiTM dalam melahirkan tenaga profesional maklumat yang kompeten dan berdaya saing.

Ketua Pustakawan UiTM, Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan dalam ucapannya menzahirkan harapan agar hubungan strategik ini dapat membawa impak positif terhadap kemenjadian pelajar FSM, khususnya dalam mempersiapkan mereka menghadapi cabaran dunia industri yang semakin kompleks dan dinamik.

“PTAR sentiasa komited untuk menyokong keperluan pembelajaran dan latihan praktikal pelajar FSM, agar mereka bukan sahaja mahir dari aspek teori, tetapi juga mempunyai daya saing dan kebolehpasaran tinggi dalam sektor maklumat, perpustakaan digital, analitik data dan pengurusan arkib digital masa kini,” ujar beliau.

Kunjungan ini memperlihatkan kesungguhan bersama dalam membina sinergi baharu, dengan PTAR memainkan peranan aktif sebagai penyokong utama dalam pembentukan budaya ilmu dan inovasi digital di kampus.

PTAR optimis bahawa kerjasama berterusan antara perpustakaan dan fakulti akademik mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan modal insan berkualiti tinggi – profesional maklumat yang bersedia untuk memenuhi kehendak pasaran dan kemajuan teknologi.

Kerjasama strategik, melahirkan profesional maklumat masa depan.

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.