Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Pelajar Tingkatan 5 Kolej Vokasional Klang Diperkenal Teknik Bacaan Pantas

SHAH ALAM, 2 Julai 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah melaksanakan satu inisiatif proaktif dalam memperkasa budaya ilmu melalui program "Bacaan Pantas" bersama pelajar Tingkatan 5 di Kolej Vokasional (KV) Klang.

Program ini diadakan bersempena Karnival Ko-Akademik, Pusat Sumber, STEM dan DELIMa, bertempat di Pusat Sumber Al-Ilmu, KV Klang. Seramai 61 pelajar bersama enam orang guru telah menyertai program ini yang bertujuan untuk memperkenalkan teknik speed reading atau bacaan pantas – satu kemahiran penting dalam era maklumat pantas dan berdaya saing.

Melalui teknik ini, pelajar dilatih untuk:

  • Menjimatkan masa ketika membaca

  • Meningkatkan jumlah bahan bacaan

  • Mempertingkatkan tahap tumpuan, kefahaman dan daya ingatan

  • Memperkukuh keupayaan berfikir secara kritikal

Tenaga instruktur dari PTAR yang terlibat dalam menjayakan sesi ini ialah Puan Eza Eliana A Wahid, Cik Ummi Halimatunssaadiyya Shamsul Yuzli dan En. Muhammad Azrul Nizam Abdul Rahman, dibantu oleh fasilitator Puan Nurlian Abd Halid.

Turut hadir memberikan sokongan ialah En. Ahamad Zuber Mohamed, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Perpustakaan PTAR; Tuan Haji Ederin Haji Amid, Pengarah KV Klang; serta Puan Noor Azizah Bajoori, Timbalan Pengarah Akademik KV Klang.

Program ini merupakan bukti nyata bahawa peranan pustakawan masa kini telah berkembang daripada sekadar penjaga koleksi bahan bacaan kepada agen pemacu ilmu dan penggerak pembelajaran sepanjang hayat.

Kerjasama erat antara PTAR dan KV Klang dalam penganjuran program ini diharap dapat memperkukuh budaya membaca dalam kalangan pelajar serta menyemarakkan semangat cintakan ilmu dalam komuniti pendidikan teknikal dan vokasional.

Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM – Mengilham Harapan, Mencipta Masa Depan.

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.