Arau, 6 Ogos 2025 – UiTM Cawangan Perlis terus komited dalam usaha memelihara dan memartabatkan tulisan Jawi menerusi penganjuran Program Jom Mahir Jawi 2025, yang berlangsung dengan jayanya pada 6 Ogos 2025. Program yang dianjurkan secara bersama oleh Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara, dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam UiTM Cawangan Perlis, memberi fokus kepada peningkatan literasi Jawi dalam kalangan staf akademik dan pentadbiran kampus.
Majlis dimulakan dengan Majlis Perasmian Program Jom Mahir Jawi 2025 yang diadakan pada jam 8.30 pagi bertempat di Ruang LCE, Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan. Majlis ini telah disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan bin Mat Noor, Rektor UiTM Cawangan Perlis. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan pentingnya warga UiTM memainkan peranan aktif dalam melestarikan tulisan Jawi sebagai sebahagian daripada jati diri dan warisan bangsa.
Sejurus selepas perasmian, berlangsung sesi Bual Bicara bertajuk “Pelestarian Tulisan Jawi: Dari Warisan Sejarah Hingga Dunia Era Digital”. Sesi tersebut menampilkan Ustaz Abdul Karim Aziz, Munsyi Dewan (Jawi) sebagai pembicara, manakala Ustaz Mohd Rizal Hanafi, Penolong Pendaftar Hal Ehwal Islam, bertindak sebagai moderator. Perbincangan yang berlangsung dari 9.30 pagi hingga 10.30 pagi ini menyentuh aspek sejarah tulisan Jawi, peranannya dalam peradaban Melayu, serta cabaran dan potensi dalam era digital. Sesi ini turut disiarkan secara langsung menerusi saluran media sosial rasmi perpustakaan.
Program diteruskan dengan sesi Bimbingan Jawi yang berlangsung dari 10.30 pagi hingga 1.00 petang di Bilik Seminar PDJH 2, yang dikendalikan oleh Ustaz Zulkifli Azit, Munsyi Dewan (Jawi). Bengkel ini memberi tumpuan kepada teknik penulisan dan bacaan tulisan Jawi secara praktikal dan sistematik, khusus untuk memperkasakan penggunaan Jawi dalam urusan rasmi dan tidak rasmi dalam kalangan staf UiTM.
Secara keseluruhannya, Program Jom Mahir Jawi 2025 berjaya memberi impak positif terhadap usaha meluaskan kefahaman dan apresiasi terhadap tulisan Jawi di peringkat institusi. Penganjuran program ini bukan sahaja memperkukuh kemahiran individu, malah menyemarakkan semula kesedaran kolektif terhadap peranan tulisan Jawi dalam membentuk identiti budaya dan warisan bangsa yang unggul.