Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

PTDI dan PPD Batu Pahat Jalin Kerjasama Strategik Perkasa Literasi Maklumat Sekolah

PTDI dan PPD Batu Pahat Jalin Kerjasama Strategik Perkasa Literasi Maklumat Sekolah

BATU PAHAT, 29 Julai 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat telah mengadakan satu lawatan kerja ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat bagi membincangkan peluang kerjasama strategik dalam memperkasakan budaya ilmu dan literasi maklumat di peringkat sekolah.

Delegasi PTDI diketuai oleh Timbalan Ketua Pustakawan, Puan Mawar Noor binti Abdullah, bersama Encik Ahmad Akmal bin Mohd Idris (Pustakawan Kanan), Encik Muhamad Faizul Azwan bin Jalil, Puan Nur Izzatul Izwani binti Ahmad (Pembantu Pustakawan) serta Aleeya binti Amri (pelajar latihan industri).

Sesi perbincangan memberi tumpuan kepada pelaksanaan program yang menyokong pembangunan sahsiah dan kecemerlangan akademik pelajar sekolah rendah dan menengah di daerah Batu Pahat. Antara modul bimbingan yang ditawarkan oleh PTDI termasuk Teknik Bacaan Pantas, Literasi Maklumat, Modul Guru Pusat Media (GPM), Modul Pengawas Pusat Sumber Sekolah (PPSS), Pemeliharaan dan Pemuliharaan Rekod, Ice-Breaking serta Pengurusan Rekod Penting.

Pihak PPD Batu Pahat memberikan maklum balas yang amat positif dan bersedia untuk meneroka kerjasama lebih lanjut. Antara cadangan yang dipersetujui termasuk penubuhan jawatankuasa kecil bagi menyelaras pelaksanaan program secara berperingkat berdasarkan keperluan sekolah-sekolah terlibat.

Lawatan ini menjadi titik tolak penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara institusi akademik dan komuniti pendidikan daerah. PTDI yakin kolaborasi ini bukan sahaja dapat memperluas akses kepada sumber ilmu dan kemahiran literasi maklumat, tetapi juga menyumbang ke arah pembentukan generasi berilmu, berdaya saing dan mencintai pembelajaran sepanjang hayat.

Hebahan media sosial : media sosial

Tags: , ,