Perpustakaan Tengku Anis, UiTM Cawangan Kelantan akan menganjurkan Bengkel Speed Reading bertempat di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Kota Bharu. Program ini diadakan pada Ahad, 29 Jun 2025, bermula jam 10.00 pagi hingga 12.30 tengah hari.
Bengkel ini dikendalikan oleh dua orang instruktur iaitu Puan Nordelina Zulkarnain, Timbalan Ketua Pustakawan UiTM Cawangan Kelantan (Kampus Machang) dan Puan Rosmariyati Ab Rahman, Timbalan Ketua Pustakawan (M) (KKUP), Kampus Kota Bharu.
Program ini bertujuan memperkasakan kemahiran membaca pantas dalam kalangan warga IPGM sebagai salah satu inisiatif mendokong pembangunan literasi maklumat dan pembelajaran kendiri yang lebih efisien.
Penganjuran bengkel ini selaras dengan aspirasi Perpustakaan UiTM dalam menyokong inisiatif akademik dan peningkatan kompetensi maklumat pengguna sejajar dengan Pelan Strategik Perpustakaan UiTM.