Pasir Gudang, 24 Jun – Satu inisiatif memperkasakan budaya membaca dalam kalangan pelajar telah dilaksanakan menerusi Program Telaah Ilmu: Bengkel Ilmu Bestari - Speed Reading yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Nusa Damai, Pasir Gudang. Program ini berlangsung pada hari Selasa, 24 Jun 2025 dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Bengkel ini merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Pendidikan melalui Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor. Ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai teknik membaca pantas, sekaligus meningkatkan kecekapan memahami bahan bacaan dalam tempoh yang singkat.
Penceramah berpengalaman dari Perpustakaan Tun Dr. Ismail, UiTM Kampus Pasir Gudang telah dijemput untuk menyampaikan bengkel ini. Cik Nor Azalea binti Mohd Azahar, Pustakawan Kanan, dan dibantu oleh Puan Siti Fatihah binti Mohd Fuzi, Pembantu Pustakawan Kanan, telah berkongsi pelbagai teknik, strategi serta tips praktikal bagi membantu peserta menguasai kemahiran membaca laju dengan lebih berkesan.