Pasir Gudang, 24Jun – Perpustakaan Tun Dr. Ismail, Kampus Pasir Gudang, dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Gudang dan SMK Taman Nusa Damai telah menganjurkan Bengkel Ilmu Bestari: Literasi Maklumat bertempat di SMK Taman Nusa Damai, Pasir Gudang.
Program yang berlangsung pada hari Selasa, 24 Jun 2025 ini diadakan dari jam 12.00 tengah hari hingga 1.00 petang, di bawah inisiatif Program Telaah Ilmu yang menekankan kepentingan kemahiran literasi maklumat dalam kalangan pelajar sekolah menengah.
Tujuan utama bengkel ini adalah untuk meningkatkan kecekapan pelajar dalam mengakses, menilai dan menggunakan maklumat secara berkesan, selari dengan usaha memperkasa pembudayaan ilmu serta pembentukan adiwangsa dalam kalangan generasi muda. Penganjuran program ini mencerminkan komitmen semua pihak terlibat dalam memperkukuh jaringan ilmu antara institusi pengajian tinggi, pihak berkuasa pendidikan dan sekolah.
Program Literasi Maklumat yang disampaikan oleh Encik Idris bin Muhammad,Pustakawan Kanan, PTDI Kampus Pasir Gudang, serta penceramah jemputan Puan Juriah binti Athman, Pustakawan Kanan, Hospital Sultanah Aminah, merupakan program yang mengisi slot Bengkel Ilmu Bestari kali ini.
Bengkel ini menjadi platform penting bagi pelajar untuk memahami teknik-teknik pencarian maklumat yang betul, serta pendedahan terhadap sumber rujukan yang sahih dan tepat. Kerjasama erat antara Perpustakaan Tun Dr. Ismail UiTM Kampus Pasir Gudang, PPD Pasir Gudang dan pihak sekolah merupakan contoh sinergi strategik dalam usaha menyemarakkan budaya ilmu dan literasi maklumat dalam sistem pendidikan negara.