25 Jun 2025 | Bilik Seminar, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Shah Alam
Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menganjurkan Bengkel Perancangan Strategik Perpustakaan UiTM 2030 Siri 1 pada 25 Jun 2025 bertempat di Bilik Seminar, PTAR UiTM Shah Alam. Bengkel ini telah mendapat kerjasama dan penglibatan aktif daripada Pejabat Transformasi Universiti (TRU) serta dihadiri oleh seramai 55 orang pustakawan dari PTAR Shah Alam dan cawangan-cawangan UiTM seluruh negara.
Bengkel ini bertujuan untuk membentuk asas perancangan strategik jangka panjang bagi Perpustakaan UiTM menjelang tahun 2030. Objektif utama bengkel adalah seperti berikut:
-
Memperkasa kefahaman mengenai hala tuju strategik UiTM sebagai asas pembangunan dokumen PTAR2030;
-
Menyediakan pelan strategik perpustakaan yang selaras dengan visi universiti melalui perincian Aims, Strategies & Key Initiatives;
-
Merangka Model Strategik PTAR2030 yang merangkumi pelaksanaan berfasa, pemantauan KPI serta peluasan pelan tindakan ke semua cawangan;
-
Membentuk asas pemikiran strategik pustakawan untuk perancangan Bengkel Siri 2 yang akan menumpukan kepada pemetaan inisiatif dan pengukuran impak secara bersepadu.
Bengkel dimulakan dengan sesi scene setting oleh Puan Azwani Mohamad, Penyelaras Strategik Transformasi Universiti (PSTU), diikuti dengan ucapan aluan oleh Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan UiTM.
Pengisian bengkel turut diperkaya dengan perkongsian ilmu oleh wakil dari TRU:
-
PM Ts. Dr. Mohamad Faizul Yahya, Pengarah Pejabat Transformasi Universiti, dengan tajuk pembentangan "Designing Effective Strategies"
-
PM Dr. Mohamad Fariz Mohamad Taib, yang menyampaikan taklimat mengenai Penyediaan Dokumen Strategik UiTM 2030.
Melalui bengkel ini, peranan pustakawan diperkasakan sebagai pengurus strategik ilmu yang mampu mendepani cabaran masa hadapan dengan pendekatan berasaskan data, teknologi pintar dan penyelesaian digital, selaras dengan transformasi UiTM ke arah sebuah universiti global yang unggul.
Bengkel Siri 2 yang akan datang dijangka memberi fokus kepada pelaksanaan inisiatif strategik dan pengukuran impak, seterusnya menyokong pembangunan ekosistem pembelajaran dan penyelidikan yang lestari di UiTM.