Pasir Gudang, 22 Julai 2025 - Dalam usaha memperluas akses ilmu pengetahuan kepada komuniti sekolah, Perpustakaan Tun Dr. Ismail, Kampus Pasir Gudang membawa Bengkel Bacaan Pantas bertempat di Kolej Vokasional Kota Tinggi, Johor, pada Selasa, 22 Julai 2025, dari jam 8.30 pagi hingga 1.30 petang.
Bengkel ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Khidmat Komuniti Sekolah anjuran Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Kampus Pasir Gudang, yang berperanan sebagai agen pemindahan ilmu kepada pelajar sekolah menengah vokasional di kawasan sekitar.
Bengkel ini dikendalikan oleh Cik Nor Azelea binti Mohd Azahar, Pustakawan Kanan dan dibantu oleh Puan Siti Fatihah Mohd. Fuzi, Pembantu Pustakawan Kanan dari Perpustakaan Tun Dr. Ismail, UiTM Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang. Beliau berkongsi teknik dan strategi bacaan pantas yang dapat membantu pelajar meningkatkan kecekapan dalam membaca dan memahami bahan bacaan secara efektif, terutamanya dalam suasana pembelajaran yang semakin mencabar.
Penganjuran bengkel ini diharap dapat memberi impak berpanjangan dalam membudayakan amalan membaca serta membentuk pelajar yang lebih fokus, efisien dan cemerlang dalam pencapaian akademik serta kerjaya masa depan.