SEGAMAT, 26 Jun 2025 – Akademi Pembangunan PKS dan Keusahawanan Malaysia (MASMED) dengan kerjasama Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor telah menganjurkan Majlis Penganugerahan Plak Hab e-Usahawan MDEC serta Bengkel TikTok Mastery: From Basics to Advance Success 2025 yang berlangsung di Ruang LCE, PTDI 1, Kampus Segamat.
Majlis ini merupakan inisiatif strategik dalam memperkukuh peranan perpustakaan dan MASMED dalam mendukung agenda keusahawanan digital selaras dengan aspirasi UiTM serta Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC). Penyerahan plak sebagai simbolik pengiktirafan kepada PTDI sebagai Hab e-Usahawan telah disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Johor.
Seramai 50 peserta telah menyertai program ini yang terdiri daripada 35 pelajar, 5 staf perpustakaan, dan 10 ahli PUSPANITA Segamat. Program diteruskan dengan Bengkel TikTok Mastery yang memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai strategi penggunaan platform TikTok secara efektif dalam perniagaan digital masa kini.
Antara pengisian utama termasuklah teknik penghasilan kandungan kreatif, pemahaman terhadap algoritma TikTok serta kaedah pemasaran yang mampu memperluaskan capaian pasaran secara optimum melalui media sosial.
Menurut salah seorang peserta yang juga staf UiTM Cawangan Johor, “Program ini sangat memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar, malah turut membuka peluang kepada staf untuk memahami potensi platform digital sebagai medium keusahawanan moden. Saya berharap lebih banyak bengkel seperti ini akan dianjurkan.”
Penganjuran program ini bukan sahaja memperkasa peserta dengan kemahiran digital terkini, malah turut mengangkat imej perpustakaan sebagai hab pembelajaran sepanjang hayat serta rakan strategik kepada agensi luar seperti MDEC dan MASMED dalam mendepani cabaran era digital.
Hebahan media sosial : media sosial