SEGAMAT, 30 Jun 2025 – Suasana di Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI 1), UiTM Cawangan Johor Kampus Segamat gamat dengan kehadiran lebih 80 peserta yang menyertai Program Advokasi Kepenggunaan “Explorace”, anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Segamat bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Johor, dengan kerjasama Perpustakaan Tun Dr. Ismail.
Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang itu telah dirasmikan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Encik Irwan Ismail, dan berjaya menarik penyertaan pelajar dan staf universiti.
Antara pengisian utama ialah pertandingan Explorace Advokasi, yang mengetengahkan pelbagai stesen interaktif berkaitan pengetahuan dan kesedaran kepenggunaan. Aktiviti ini bukan sahaja menguji daya saing dan pengetahuan peserta, malah turut menyuntik semangat berpasukan dalam suasana yang santai dan menyeronokkan.
Turut mencuri tumpuan ialah jualan Rahmah yang berlangsung serentak di kawasan Halfmoon PTDI 1, menawarkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan. Jualan ini mendapat sambutan menggalakkan daripada warga kampus yang menghargai inisiatif membantu meringankan beban kos sara hidup.
Menurut penganjur, program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pengguna dalam kalangan warga kampus, sejajar dengan usaha kerajaan memupuk masyarakat pengguna yang bijak dan berinformasi.
“Penerapan nilai kepenggunaan melalui pendekatan interaktif seperti ini lebih berkesan dan dekat di hati generasi muda,” ujar salah seorang urus setia program.
Program ini turut mencerminkan komitmen berterusan UiTM dalam menyokong inisiatif kerajaan serta menggalakkan kerjasama rentas agensi dalam mendidik masyarakat kampus menjadi pengguna yang bertanggungjawab dan celik hak.
Hebahan media sosial : media sosial