Shah Alam, 24 Mac 2025 – Dalam menyemarakkan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, warga Perpustakaan Tun Abdul Razak, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam telah menerima agihan bubur lambuk yang disediakan oleh penduduk Kampung Baru. Program agihan tersebut dilaksanakan dengan penuh meriah dan dihadiri oleh wakil setiap bahagian perpustakaan serta ketua perpustakaan fakulti.
Agihan bubur lambuk ini telah disampaikan secara simbolik oleh Ketua Pustakawan UiTM, yang turut hadir bersama-sama warga perpustakaan untuk memeriahkan acara tersebut. Sebagai satu tradisi Ramadan, program ini bukan sahaja bertujuan untuk menyantuni warga perpustakaan, tetapi juga sebagai peluang untuk mempererat hubungan sesama staf dalam suasana bulan yang penuh rahmat.
Setelah selesai program agihan, para peserta mengambil peluang untuk merakamkan kenangan indah melalui sesi bergambar sebagai tanda memori Syawal 1446H / 2025 yang bakal tiba. Semoga setiap detik yang tersisa di bulan Ramadan ini membawa keberkatan dan ketenangan buat seluruh warga UiTM, terutama kepada warga Perpustakaan Tun Abdul Razak.
Program ini juga menjadi pengingat kepada kita semua agar sentiasa bersyukur dan menghargai setiap kurniaan dalam bulan yang mulia ini.