Segamat, 21 Mac 2025 – Suasana penuh bermakna menyelubungi Pusat Sumber Sekolah Menengah Sains Segamat apabila berlangsungnya Majlis Penyerahan Infaq Al-Quran dan Sistem Perpustakaan. Majlis ini disempurnakan oleh Prof. Madya Dr. Saunah Zainon, yang Menjalankan Fungsi Rektor, dan diterima oleh Encik Sahnizam Miswan, Pengetua sekolah.
Sebanyak 30 naskhah Al-Quran telah diinfaqkan sebagai sumbangan berharga untuk manfaat warga sekolah dalam memperkukuhkan ilmu agama. Selain itu, Sistem Perpustakaan yang diasaskan oleh Encik Isma Ishak, Pensyarah Kanan, diserahkan dengan harapan dapat membantu menguruskan bahan bacaan secara lebih sistematik dan menarik minat pelajar untuk membaca.
Menurut wakil Sekolah Menengah Sains Segamat, beliau menyatakan rasa syukur atas sumbangan ini, kerana sistem perpustakaan yang diperkenalkan bakal menjadikan urusan peminjaman dan pengurusan bahan bacaan lebih teratur dan efisien, sekali gus menggalakkan budaya membaca dalam kalangan pelajar.
Sementara itu, Encik Ahmad Akmal Idris, Pustakawan Kanan, berharap agar sistem perpustakaan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Beliau turut menjelaskan bahawa usaha ini adalah rentetan daripada perjumpaan bersama Guru Perpustakaan dan Media Sekolah Menengah Sains Segamat, yang telah mengusulkan agar Perpustakaan Tun Dr. Ismail memberi konsultasi dan membangunkan sistem ini bagi membantu pengurusan sumber bacaan di sekolah yang baru beroperasi.
Majlis ini bukan sahaja simbolik kepada kerjasama erat antara institusi pendidikan tetapi juga menjadi pemangkin dalam membudayakan ilmu dan literasi di kalangan generasi muda. Dengan adanya sistem yang lebih tersusun, diharapkan minat membaca dalam kalangan pelajar akan terus berkembang, seterusnya melahirkan individu yang berpengetahuan dan berdaya saing.
Hebahan media sosial : media sosial