23 Mac 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan Program Pintar Jawi@PSB yang bertujuan untuk memperkenalkan serta menggalakkan pengisian aktiviti menulis dan membaca Jawi. Program ini telah dikendalikan oleh Pn. Wan Rohani Wan Chin, Pustakawan Kanan, Perpustakaan Sultan Badlishah.
Seramai 22 orang staf UiTM Cawangan Kedah telah menyertai program ini, yang mana mereka diberikan latihan serta pendedahan dalam penulisan dan bacaan Jawi yang betul dan lancar. Program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta dalam memperkaya pengetahuan mereka mengenai seni tulisan Jawi, tetapi juga bertujuan untuk memastikan warisan budaya Melayu terus dipelihara dalam kalangan generasi masa kini.
Para peserta berpeluang untuk mempelajari teknik penulisan dan bacaan Jawi melalui sesi yang interaktif. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dan diharap dapat diteruskan di masa akan datang.Diharapkan dengan adanya program seperti ini, pengetahuan mengenai tulisan Jawi dapat dikekalkan dan diperluaskan dalam kalangan masyarakat, terutamanya generasi muda.
Program Pintar Jawi@PSB merupakan langkah positif selaras dengan aktiviti pembudayaan ilmu dan antara usaha dalam memartabatkan warisan tulisan Jawi yang merupakan sebahagian daripada identiti bangsa Melayu.