25 Mei 2025 – Program SULAM Antarabangsa telah berlangsung dengan jayanya melibatkan kolaborasi antara Mahasiswa Diploma Informatik Perpustakaan, Fakulti Sains Maklumat, UiTM Cawangan Kedah dan Universitas Airlangga (UNAIR), Indonesia, dengan kerjasama daripada Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah. Program ini bermula pada jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Aras 3, Perpustakaan Sultan Badlishah, menghimpunkan seramai 30 pelajar semester 5 UiTM Cawangan Kedah dan 28 pelajar dari UNAIR.
Program ini dianjurkan selaras dengan inisiatif Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang menekankan pembelajaran berasaskan pengalaman melalui penglibatan mahasiswa dalam aktiviti yang menyumbang kepada pembangunan komuniti dan ilmu pengetahuan. Sepanjang program, peserta terlibat dalam pelbagai aktiviti seperti sesi pembentangan projek bersama, perkongsian ilmu dalam bidang sains maklumat, dan aktiviti interaktif silang budaya yang menggalakkan pemahaman dan hubungan dua hala antara pelajar dari kedua-dua institusi.
Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa, memperkasa kemahiran insaniah mahasiswa dalam konteks global, serta membuka ruang kepada pertukaran ilmu dan amalan terbaik dalam bidang perpustakaan dan sains maklumat. Selain itu, program ini juga menyokong aspirasi pengantarabangsaan UiTM serta menyemai nilai kepimpinan, komunikasi dan kerjasama dalam kalangan pelajar.
Secara keseluruhan, Program SULAM Antarabangsa ini telah berjaya mencapai matlamatnya dengan sokongan kukuh pihak pengurusan UiTM Cawangan Kedah dan Universitas Airlangga. Peranan Perpustakaan Sultan Badlishah sebagai rakan strategik utama turut membantu memastikan kelancaran program dan membuka peluang untuk lebih banyak kolaborasi rentas negara pada masa akan datang.