Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Lib Keyless: Langkah Ke Arah Pengurusan Akses Pintar di PTDI

Lib Keyless: Langkah Ke Arah Pengurusan Akses Pintar di PTDI

SEGAMAT, 22 Mei 2025 – Dalam usaha memperkasa pengurusan fasiliti melalui transformasi digital, Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor telah menganjurkan satu sesi taklimat bertajuk “Lib Keyless – Pengintegrasian Teknologi IoT” bertempat di Ruang LCE, PTDI 1.

Taklimat yang berlangsung dengan penglibatan seramai 35 orang peserta ini telah disampaikan oleh Encik Haraney Hamzah, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat. Beliau telah menerangkan secara komprehensif tentang sistem Lib Keyless, iaitu satu sistem kawalan akses pintu pintar yang tidak lagi memerlukan kunci fizikal, sebaliknya dikendalikan sepenuhnya melalui aplikasi mudah alih berasaskan teknologi Internet of Things (IoT).

Dalam sesi tersebut, Encik Haraney turut mengupas mengenai aspek pengoperasian, kelebihan sistem dari segi keselamatan dan kecekapan pengurusan akses, serta potensi risiko yang perlu diberi perhatian dalam pelaksanaannya. Sistem ini dilihat mampu mempertingkat kawalan keselamatan serta memudahkan pengurusan keluar masuk ke ruang-ruang terpilih di perpustakaan.

Selain itu, taklimat turut memberi penekanan kepada peranan teknologi IoT dalam menyokong agenda transformasi digital UiTM, khususnya dalam mempertingkatkan persekitaran kerja yang lebih selamat, cekap dan lestari.

Program ini bukan sahaja memberi pendedahan berguna kepada warga perpustakaan dan jabatan berkaitan, malah menjadi titik permulaan kepada pengenalan sistem pengurusan pintar yang lebih menyeluruh di masa hadapan.

PTDI komited untuk terus meneroka solusi teknologi terkini dalam usaha memperkasa kemudahan serta perkhidmatan kepada warga kampus, sejajar dengan aspirasi universiti ke arah kelestarian digital.

Hebahan media sosial : media sosial

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.