SEGAMAT, 22 Mei 2025 – Dalam usaha menyemarakkan budaya membaca dan menggalakkan perkongsian ilmu dalam kalangan staf, Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor telah menganjurkan program “1 Staf, 1 Buku: Book Review” bertempat di PTDI pada jam 3.00 hingga 4.00 petang.
Program ini berjaya menarik penyertaan seramai 93 orang peserta yang terdiri daripada warga UiTM Cawangan Johor. Empat orang pembentang telah berkongsi ulasan buku pilihan mereka, iaitu:
-
Pn. Mawar Noor binti Abdullah (Timbalan Ketua Pustakawan)
-
En. Ahmad Akmal bin Mohd Idris (Pustakawan Kanan)
-
Pn. Nur Izzatul Izwani binti Ahmad (Pembantu Pustakawan)
-
En. Mohd Asrulazalan bin Mohd Hashim (Pembantu Pustakawan Kanan)
Kesemua pembentang membuat ulasan berdasarkan bahan bacaan digital yang diperoleh menerusi sistem eLib eBook Portal, memperlihatkan keupayaan staf dalam memanfaatkan kemudahan perpustakaan digital secara optimum.
Setiap ulasan merangkumi sinopsis buku, tema utama, serta pandangan peribadi terhadap isi kandungan bahan bacaan tersebut. Pelbagai genre telah diketengahkan, sekali gus membuka ruang kepada peserta untuk mengenal lebih banyak judul dan sumber ilmu yang tersedia dalam platform eLib.
Program ini turut memberi pendedahan kepada staf mengenai kemudahan bahan bacaan digital yang boleh diakses pada bila-bila masa, seiring dengan usaha perpustakaan mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat dan amalan membaca dalam talian.
PTDI berharap program seumpama ini dapat diteruskan secara berkala sebagai satu inisiatif pembudayaan ilmu, di samping memperluas penggunaan sumber digital secara lebih efektif dalam kalangan warga kampus.
Hebahan media sosial : media sosial