SEGAMAT, 21 Mei 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail 1 (PTDI 1), UiTM Cawangan Johor terus komited dalam menyemarakkan budaya ilmu dengan penganjuran program “A Day With STEM Knowledge” yang berlangsung dengan penuh meriah dari jam 8.00 pagi hingga 3.00 petang bertempat di Ruang LCE dan Ruang Bacaan PTDI 1.
Program ini berjaya menarik penyertaan seramai 180 orang yang terdiri daripada murid sekolah rendah, guru pengiring, fasilitator dan warga kerja penganjur. Seramai 35 murid dari Sekolah Kebangsaan Gemereh dan Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal hadir bersama empat orang guru pengiring bagi menyertai pelbagai aktiviti menarik berteraskan bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).
Matlamat utama program ini adalah untuk memperkenalkan bidang STEM kepada murid sekolah rendah dalam bentuk pembelajaran interaktif dan menyeronokkan di luar bilik darjah. Antara pengisian utama program ialah ceramah bertajuk “STEM: Tiket Untuk Masa Depan Anda!” yang memberikan pendedahan tentang peranan penting bidang STEM dalam kehidupan harian serta masa depan kerjaya.
Selain itu, peserta turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti praktikal dan mencabar minda seperti Lego Robotik, Paper Tower Challenge, eksperimen Ketumpatan, dan simulasi Letusan Gunung Berapi (Volcano Eruption). Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menguji kreativiti dan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), malah turut menekankan aspek kerjasama dan komunikasi dalam kalangan murid.
Program yang berlangsung dengan jayanya ini telah berjaya mencapai objektif utamanya iaitu memberi pendedahan awal kepada generasi muda mengenai kepentingan bidang STEM. PTDI berharap agar program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi melahirkan pelajar yang celik teknologi, berfikiran saintifik dan bersedia menghadapi cabaran abad ke-21.
Hebahan media sosial : media sosial