SEGAMAT, 20 Mei 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor telah mengadakan satu kunjungan mesra ke Pusat Sumber SMK Canossian Convent Segamat dalam usaha memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah menengah.
Lawatan yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 11.30 pagi itu disertai oleh empat orang wakil dari PTDI, iaitu Puan Mawar Noor Abdullah (Timbalan Ketua Pustakawan), Puan Siti Rozana Mat Sanat (Timbalan Ketua Pustakawan (M)(KUP)), Encik Ahmad Akmal Mohd Idris (Pustakawan Kanan), dan Encik Muhammad Safwan Kamirul Ain (Pembantu Pustakawan).
Tujuan utama lawatan ini adalah bagi mengeratkan hubungan dua hala antara pihak sekolah dan universiti, selain memberi khidmat nasihat serta konsultasi berkaitan pengurusan perpustakaan dan pembangunan koleksi bahan bacaan. Sepanjang sesi lawatan, wakil PTDI turut diberi penerangan menyeluruh mengenai operasi pusat sumber serta kemudahan yang ditawarkan kepada pelajar di sekolah tersebut.
Menariknya, pihak SMK Canossian Convent turut menyerahkan beberapa buah buku berharga sebagai sumbangan kepada PTDI. Antara karya bersejarah yang disumbangkan termasuklah Hikayat Iskandar Zulkarnain, Taj al-Salatin, Sulalat al-Salatin, dan Undang-Undang Sembilan Puluh Sembilan. Sumbangan ini dilihat sebagai simbol penghargaan dan sokongan terhadap usaha memartabatkan khazanah intelektual serta warisan kesusasteraan Melayu.
Pihak PTDI amat menghargai kerjasama dan sumbangan yang diberikan, dan berharap jalinan strategik ini dapat diteruskan dalam pelbagai bentuk kolaborasi lain yang mampu menyemarakkan budaya ilmu dan membaca dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat.
Hebahan media sosial : media sosial