SEGAMAT, 17 Mei 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor telah menganjurkan program Journey To Library bertempat di Bilik Seminar Sri Bendahara dengan penyertaan yang menggalakkan daripada warga kampus. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai pelbagai kemudahan dan perkhidmatan perpustakaan yang ditawarkan secara dalam talian.
Program dimulakan dengan sesi penerangan oleh Puan Noredayu Rosli, Pustakawan Kanan, yang dijemput sebagai penceramah utama. Dalam sesi tersebut, beliau telah memberikan penjelasan terperinci tentang penggunaan sistem eLibs, iaitu platform digital yang membolehkan pengguna meminjam buku dan mengakses bahan bacaan secara maya, tanpa perlu hadir ke perpustakaan secara fizikal.
Selain itu, beliau turut memperkenalkan fungsi My Reading List dalam sistem PERMATA, yang membantu pengguna menyusun dan mengurus senarai bahan bacaan pilihan mereka secara lebih sistematik, terancang dan mesra pengguna.
Program ini turut dibantu oleh fasilitator, Puan Norme Haji Saleh, Pembantu Pustakawan Kanan, yang memastikan kelancaran sesi dan membantu menjawab pertanyaan peserta sepanjang program berlangsung. Suasana program dilihat interaktif dengan peserta menunjukkan minat yang tinggi serta memberikan kerjasama yang baik.
Penganjuran program Journey To Library ini selari dengan usaha perpustakaan dalam meningkatkan tahap literasi maklumat dalam kalangan pelajar dan staf UiTM. PTDI optimis agar program seumpama ini dapat diteruskan secara berterusan sebagai salah satu inisiatif mendekatkan pengguna kepada perkhidmatan digital perpustakaan.
Hebahan media sosial : media sosial