Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Pemuliharaan Bahan Ilmu : Antara Teori dan Praktikal

Pemuliharaan Bahan Ilmu : Antara Teori dan Praktikal

SEGAMAT, 19 Mei 2025 – Seramai 28 orang pelajar telah menyertai Bengkel Pemuliharaan Bahan Arkib yang berlangsung di Ruang LCE, Perpustakaan Tun Dr. Ismail 1 (PTDI 1), UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat. Program ini bertujuan memberi pendedahan mendalam kepada para pelajar mengenai aspek pengurusan rekod, teknik penjilidan serta kaedah pemuliharaan bahan arkib.

Bengkel ini dibahagikan kepada tiga slot utama dan dikendalikan sepenuhnya oleh warga kerja PTDI yang berpengalaman dalam bidang berkaitan. Slot pertama dimulakan dengan taklimat bertajuk “Pengurusan Rekod Universiti” yang disampaikan oleh Puan Siti Rozana Mat Sanat, Timbalan Ketua Pustakawan (M) (KUP). Beliau menekankan kepentingan pengurusan rekod secara sistematik bagi menjamin kelestarian dokumentasi sesebuah organisasi, khususnya institusi pendidikan tinggi.

Slot kedua pula dikendalikan oleh Encik Mohd Azmi Samsuri, Pembantu Pustakawan Kanan, yang memperkenalkan perkhidmatan penjilidan di perpustakaan serta berkongsi maklumat berkaitan jenis-jenis penjilidan, fungsinya dan proses penyediaan dokumen yang berkualiti serta tahan lama.

Slot ketiga merangkumi bengkel praktikal yang disampaikan oleh Encik Nurul Amin Norudin, Pembantu Pustakawan Kanan, dengan bantuan Encik Mohd Azmi. Sesi ini memberi penerangan terperinci mengenai peralatan penjilidan seperti fish bone, bee wax, hot stamping dan buckram, serta teknik membaiki tisu dan menukar kulit buku rosak kepada hardcover. Para pelajar turut diperkenalkan dengan kaedah asas pemuliharaan bahan arkib dan aspek keselamatan kerja yang perlu dipatuhi.

Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari ini berjalan lancar dan mencapai objektif penganjuran. Melalui bengkel ini, para peserta memperoleh ilmu serta kemahiran yang bermanfaat dalam usaha memelihara dokumen penting institusi secara sistematik dan beretika.

Perpustakaan Tun Dr. Ismail berharap program seumpama ini dapat diteruskan sebagai salah satu inisiatif dalam memperkasa literasi maklumat serta memperkukuh kefahaman pelajar terhadap kepentingan pemuliharaan dan pengurusan rekod universiti.

Hebahan media sosial : media sosial

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.