Please ensure Javascript is enabled for purposes of website accessibility

Library News

Program Kerjasama Perpustakaan Bersama Kolej Vokasional Sungai Petani 2

15 Mei 2025 | Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan Program Kerjasama Perpustakaan bersama Kolej Vokasional Sungai Petani 2 yang telah berlangsung di Kolej Vokasional Sungai Petani 2, Kedah bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Program ini disertai oleh 305 pelajar dari institusi berkenaan sebagai sebahagian usaha menyemai budaya ilmu dalam kalangan komuniti setempat.

Program ini merupakan inisiatif Perpustakaan Sultan Badlishah dalam memperkukuh peranan institusi perpustakaan sebagai pusat rujukan dan pembangunan ilmu yang bukan hanya tertumpu kepada komuniti dalaman UiTM, tetapi turut diperluas kepada masyarakat luar seperti pelajar sekolah, kolej vokasional dan politeknik. Matlamat utama program ini adalah untuk menyemarakkan budaya membaca, memperkasa pencarian maklumat secara digital serta menggalakkan kesejahteraan mental melalui amalan membaca.

Sepanjang program, tiga sesi utama telah diadakan. Sesi pertama, Literasi Maklumat, memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan literasi maklumat serta kaedah pencarian maklumat secara dalam talian dengan lebih berkesan, sekali gus menyokong proses pembelajaran dan pengajaran.

Sesi kedua, Speed Reading atau Bacaan Pantas, memperkenalkan teknik dan strategi pembacaan pantas yang membantu meningkatkan kecekapan dan daya fokus ketika membaca. Sesi ini bertujuan meningkatkan produktiviti membaca dalam kalangan peserta.

Sesi terakhir ialah Biblioterapi, iaitu satu pendekatan yang menggunakan bahan bacaan terpilih untuk membantu individu mengurus emosi dan tekanan, di samping menggalakkan refleksi kendiri dan kesejahteraan mental.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Puan Azizah Khasim, Timbalan Ketua Pustakawan, Beliau menyatakan dalam ucapan perasmiannya bahawa secara keseluruhannya, program ini telah mencapai objektifnya dan mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Ia juga mencerminkan komitmen Perpustakaan Sultan Badlishah dalam memperluas akses kepada ilmu dan memperkukuh jaringan kolaborasi bersama komuniti luar.

Tags: ,

Please publish modules in offcanvas position.