9 Mei 2025 | Shah Alam
Galeri Tun Abdul Razak (GTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM), berbesar hati menerima kunjungan rasmi YBhg. Datuk Haji Abdul Wahab Aziz, Pro Canselor UiTM, bersama isteri tercinta, YBhg. Datin Dayang Rosnah Abang Drashid, pada 9 Mei 2025.
Lawatan penuh mesra ini turut disertai oleh warga GTAR serta beberapa wakil pentadbiran universiti. Turut hadir mengiringi lawatan ialah Dekan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR), Prof. Madya Ts. Dr. Azhar Abd Jamil.
Sepanjang lawatan, YBhg. Datuk Pro Canselor diberi taklimat ringkas mengenai misi dan fungsi GTAR dalam mendokumentasikan sejarah dan warisan institusi. Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap usaha yang telah dilaksanakan GTAR dalam memelihara khazanah sejarah UiTM untuk tatapan generasi akan datang.
GTAR merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kesudian YBhg. Datuk Pro Canselor dan isteri meluangkan masa bagi meninjau sendiri usaha yang dijalankan. Kunjungan ini diharapkan dapat memperkukuh sokongan institusi terhadap pemeliharaan warisan, selain menyemarakkan lagi semangat kecemerlangan dalam kalangan warga universiti.
GTAR akan terus komited dalam memainkan peranan sebagai pusat warisan yang mendukung aspirasi universiti ke arah pembangunan ilmu, budaya dan sejarah yang berterusan.