Segamat, 7 Mei 2025 – Perpustakaan Tun Dr. Ismail telah mengorak langkah awal dalam usaha merekodkan sejarah institusi menerusi satu sesi perbincangan bertajuk “Perbincangan Pelaksanaan Awalan Projek Sejarah Lisan UiTM Cawangan Johor” yang berlangsung secara fizikal dari jam 3.00 petang hingga 4.30 petang.
Projek Sejarah Lisan ini merupakan pendekatan penyelidikan yang memberi penekanan kepada penceritaan pengalaman sebenar oleh individu secara langsung yang pernah terlibat dalam sesuatu peristiwa penting dalam sejarah penubuhan dan pembangunan UiTM Johor. Dalam perbincangan tersebut, turut dibincangkan ialah pengagihan tugasan awal melibatkan proses pengumpulan data tokoh pesara yang pernah menyumbang secara signifikan kepada pembangunan institusi.
Projek ini dijangka menjadi platform penting dalam merakam warisan ilmu dan pengalaman yang tidak ternilai daripada warga terdahulu. Inisiatif ini juga diharap dapat menjadi sumber rujukan generasi masa hadapan dalam memahami sejarah dan perjalanan UiTM Cawangan Johor sejak penubuhannya.
Dengan pelaksanaan projek ini, UiTM Johor bukan sahaja berusaha menghargai jasa tokoh-tokoh terdahulu, malah memastikan sejarah dan sumbangan mereka terus hidup dalam lipatan kenangan institusi.
Hebahan media sosial : media sosial