SEGAMAT, 5 Mei 2025 – Satu sesi perbincangan secara dalam talian melalui platform Google Meet telah berlangsung antara Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat dan Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM Cawangan Johor, bagi membincangkan pelaksanaan Kem Sanggar Bahasa Generasi MADANI Peringkat Daerah Segamat yang dirancang berlangsung pada Jun 2025.
Perbincangan ini melibatkan kehadiran wakil PPD Segamat, Encik Ismadi Arsad, Pegawai Pendidikan Daerah (PPPD) Pembangunan Bakat Murid. Manakala PTDI diwakili oleh Encik Ahmad Akmal Idris dan Puan Noredayu Rosli, kedua-duanya Pustakawan Kanan, serta Encik Faizul Azwan Jalil, Pembantu Pustakawan.
Antara fokus utama sesi ini adalah menjalin kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam merealisasikan penganjuran kem berkenaan yang bakal melibatkan seramai 100 orang pelajar sekolah rendah dari seluruh daerah Segamat. Program ini dijangka memberi impak besar terhadap pembangunan sahsiah dan penguasaan bahasa dalam kalangan murid.
Menurut Encik Ismadi, “Kem Sanggar Bahasa Generasi MADANI merupakan satu inisiatif strategik yang digerakkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuh penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah.”
Inisiatif ini juga dilancarkan sebagai tindak balas langsung terhadap keperluan meningkatkan tahap penguasaan bahasa selaras dengan aspirasi dan matlamat yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) menerusi dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Kem ini bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan kemahiran teknikal berbahasa, tetapi juga untuk memupuk minat yang mendalam terhadap bahasa melalui aktiviti-aktiviti yang kreatif, interaktif dan menyeronokkan. Pendekatan ini dijangka akan membina keyakinan diri murid sebagai generasi MADANI dalam berkomunikasi secara efektif dalam pelbagai situasi kehidupan seharian dan dunia masa hadapan.
PTDI menyambut baik cadangan dan inisiatif ini, dan menyatakan komitmen penuh untuk menyokong pelaksanaannya melalui penyediaan bahan bacaan, pengendalian bengkel literasi maklumat, serta pelaksanaan modul berasaskan kemahiran berbahasa dan teknologi maklumat.
Sesi perbincangan yang berlangsung dalam suasana mesra dan profesional ini menjadi permulaan kepada hubungan kerjasama yang lebih kukuh antara PPD Segamat dan PTDI. Diharapkan program ini akan menjadi platform transformasi bahasa dan komunikasi dalam kalangan pelajar, seiring dengan hasrat membentuk generasi Malaysia yang celik bahasa, berketerampilan dan bersahsiah tinggi.
Hebahan media sosial : media sosial