Pasir Gudang, 27 Mac 2025 - Program Mobile Library @ PTDI2U telah berlangsung dengan jayanya di beberapa bahagian utama di institusi, iaitu Pejabat Bahagian Pentadbiran, Bahagian Bendahari, dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar. Program ini merupakan salah satu inisiatif perpustakaan dalam menyokong pencapaian KPI 3: Bilangan Bahan Bacaan Yang Dirujuk.
Tujuan utama program ini adalah untuk memperluaskan akses bahan bacaan kepada staf serta menggalakkan budaya membaca dalam kalangan kakitangan. Melalui Mobile Library, pelbagai koleksi bahan bacaan seperti buku fizikal, jurnal, dan majalah telah dibawa terus ke lokasi-lokasi yang ditetapkan, memudahkan staf untuk mendapatkan bahan bacaan yang bersesuaian dengan minat dan keperluan mereka.
Selain penyediaan bahan bacaan, pihak perpustakaan turut mengambil peluang untuk memperkenalkan serta memudahcara penggunaan dua platform bacaan digital utama, iaitu MyReading Permata dan eLIB (ebooks). Kedua-dua platform ini menyediakan akses kepada pelbagai bahan bacaan elektronik yang boleh dimanfaatkan oleh staf pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Sesi penerangan dan demonstrasi telah dijalankan bagi memastikan semua staf memahami cara mengakses dan memanfaatkan sumber digital ini dengan lebih efektif.
Sambutan terhadap program Mobile Library @ PTDI2U amat memberangsangkan, dengan ramai staf menunjukkan minat terhadap bahan bacaan yang disediakan serta menyatakan kesediaan untuk menggunakan platform digital yang diperkenalkan. Program ini diharapkan dapat diteruskan secara berkala bagi memastikan budaya membaca terus berkembang dan memberi manfaat kepada seluruh warga institusi.
Pihak perpustakaan mengucapkan penghargaan kepada semua staf yang telah memberikan kerjasama dalam menjayakan program ini. Diharapkan, inisiatif seperti ini akan terus menjadi pemangkin kepada peningkatan literasi dan pembudayaan ilmu di kalangan warga institusi.