Segamat, 18 Mac 2025 – Satu sesi perbincangan bagi merangka dan menyelaras Program Khidmat Komuniti Sekolah yang dijadualkan berlangsung sepanjang tahun 2025. Perbincangan yang diadakan di Bilik TKP, PTDI 1 ini bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan kerjasama antara sekolah-sekolah di Daerah Segamat dan pihak perpustakaan dalam usaha meningkatkan literasi maklumat dan pembangunan akademik pelajar.
Sesi perbincangan ini turut dihadiri oleh wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Segamat, iaitu Puan Noor Aniza Shahrina Johan Shah, Puan Noorhidayah Mohd Zohri, dan Encik Nasrulhuda Mohd Mastor, yang masing-masing merupakan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Segamat. Kehadiran mereka mencerminkan komitmen PPD dalam memastikan program yang bakal dilaksanakan memberikan impak positif kepada para pelajar dan institusi pendidikan di daerah ini.
Antara topik utama yang dibincangkan adalah pelaksanaan program literasi maklumat bagi membantu pelajar memahami kaedah pencarian maklumat yang lebih efektif, bengkel pembelajaran digital yang bertujuan memperkasakan kemahiran penggunaan teknologi dalam pembelajaran, serta aktiviti pemerkasaan budaya membaca yang dirancang untuk memupuk minat membaca dalam kalangan pelajar sejak usia muda. Selain itu, pelbagai cadangan lain turut dikemukakan untuk memastikan setiap program dapat memberikan manfaat yang menyeluruh kepada semua pihak terlibat.
Menurut wakil PTDI 1, pihak perpustakaan komited dalam melaksanakan program-program yang menyokong usaha meningkatkan kualiti pendidikan di Segamat. Kerjasama erat antara PTDI dan pihak sekolah diharapkan dapat membantu meningkatkan tahap literasi dan kecemerlangan akademik pelajar, sekaligus menyumbang kepada pembangunan pendidikan yang lebih holistik.
Perbincangan ini menjadi titik tolak kepada pelaksanaan pelbagai inisiatif yang akan direalisasikan sepanjang tahun 2025. Semua pihak yang terlibat bersetuju bahawa sinergi antara perpustakaan dan institusi pendidikan amat penting dalam memastikan pelajar mendapat akses kepada bahan dan kemahiran yang diperlukan bagi mencapai kecemerlangan dalam akademik dan sahsiah diri.
Pautan hebahan media sosial : media sosial