13 Mac 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan Program Speed Reading pada hari ini bertempat di Aras 2, Perpustakaan Sultan Badlishah. Program ini berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dengan penyertaan seramai 16 orang peserta yang terdiri daripada staf pentadbiran dan akademik.
Program ini dikendalikan oleh Puan Wan Rohani Wan Chin, Pustakawan Kanan Perpustakaan Sultan Badlishah, yang berkongsi pelbagai teknik membaca pantas. Antara teknik yang diperkenalkan termasuk kaedah fiksasi mata, penggunaan jari sebagai panduan, serta kad indeks bagi meningkatkan kecekapan membaca.
Sepanjang sesi, peserta turut diberi latihan membaca bagi memperkukuh pemahaman dan aplikasi teknik yang dipelajari. Program ini bertujuan untuk membantu peserta meningkatkan keupayaan membaca dengan lebih cepat dan berkesan, seterusnya memperbaiki kecekapan dalam mendapatkan maklumat dengan pantas.
Pihak perpustakaan berharap agar program ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta dan akan terus menganjurkan sesi seumpama ini pada masa akan datang bagi menyokong pembelajaran sepanjang hayat.