12 Mac 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah telah menerima kunjungan Panel Penilai MQA dalam rangka Lawatan Audit Penilaian Akreditasi bagi menilai kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh perpustakaan. Lawatan yang berlangsung pada 12 Mac 2025 (Rabu) jam 4.00 petang ini memberi tumpuan kepada aspek kesediaan perpustakaan dalam menyokong keperluan akademik dan penyelidikan universiti.
Lawatan ini melibatkan Panel Penilai Audit Akreditasi Penuh bagi tiga program akademik, iaitu Program Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Sumber Manusia (BA243), Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Pengurusan Operasi (BA244), dan Sarjana Eksekutif Sains Pentadbiran (AM770). Para panel menilai pelbagai aspek termasuk kemudahan pembelajaran, akses kepada bahan rujukan serta sokongan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).
Salah satu inovasi yang menarik perhatian panel adalah alat bantuan rujukan OKU yang diperkenalkan oleh perpustakaan, iaitu eView, yang direka untuk memudahkan akses kepada bahan rujukan bagi pengguna berkeperluan khas. Panel penilai memberikan pujian terhadap usaha inovatif ini serta komitmen perpustakaan dalam memastikan perkhidmatan yang inklusif dan berkualiti.
Secara keseluruhannya, lawatan audit ini berjalan dengan lancar dan mendapat maklum balas positif daripada panel penilai.