13 Mac 2025 | 12 Ramadan 1446H
Shah Alam – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah menerima lawatan delegasi dari Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) UiTM yang diketuai oleh Prof. Dr. S. Salahudin Suyurno. Lawatan ini bertujuan untuk mengukuhkan sinergi dalam penyelidikan dan perkongsian ilmu demi kecemerlangan warga UiTM.
Dalam sesi perbincangan yang berlangsung, kedua-dua pihak membincangkan hala tuju Koleksi Khas Jawi yang diharapkan dapat memberi manfaat besar kepada komuniti UiTM. Kerjasama ini juga merangkumi peluang untuk membudayakan ilmu dalam bidang Pengajian dan Pendidikan Islam, Ekonomi Islam & Muamalat serta Pengurusan Industri Halal.
Menurut wakil PTAR, perpustakaan bersedia menyumbang kepakaran dalam bidang taksonomi subjek, pendigitalan, Personalized Education, serta Pembangunan Bakat Perpustakaan UiTM seperti Speed Reading. Lawatan ini turut membawa delegasi ACIS ke Koleksi Khas Jawi, di mana mereka berpeluang melihat naskhah ulama Jawi Nusantara yang berkaitan dengan bidang kepakaran ACIS.
“Kami percaya, melalui pembudayaan ilmu ini, UiTM berpotensi meneroka pelbagai bidang seperti ilmu agama, astronomi, falak, dan banyak lagi subjek yang relevan,” ujar wakil PTAR.
Lawatan ini diharapkan dapat memperkukuhkan hubungan strategik antara PTAR dan ACIS serta memberi impak positif kepada pembangunan ilmu di UiTM. Insya-Allah.