Pasir Gudang, 5 Jun – Program Telaah Ilmu 1 Staf Perkongsian Ilmu anjuran Perpustakaan Tun Dr. Ismail, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Johor, Kampus Pasir Gudang berlangsung dengan jayanya pada hari ini, 5 Jun 2025. Program ini diadakan di ruang Perpustakaan Tun Dr. Ismail bermula jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang.
Program ini bertujuan memupuk budaya perkongsian ilmu dalam kalangan staf perpustakaan serta menyemarakkan semangat pembudayaan ilmu dalam organisasi. Bertemakan “1 Staf, 1 Perkongsian Ilmu”, inisiatif ini memberi peluang kepada staf perpustakaan untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman dalam bidang tugas masing-masing, sekali gus memperkasakan profesionalisme kerja.
Empat orang staf Perpustakaan Tun Dr. Ismail tampil sebagai penyampai utama dalam sesi perkongsian ini, masing-masing membawa topik khusus mengikut bidang kepakaran mereka. Pn. Siti Fatihah Mohd. Fuzi, Pembantu Pustakawan Kanan, membentangkan mengenai Indexing Newspaper, manakala Cik Nor Azelea Mohd. Azahar, Pustakawan Kanan, berkongsi tentang Online Database.
Seterusnya, Pn. Siti Dzarifah Mohd. Sarifee, Pembantu Pustakawan Kanan, menjelaskan mengenai Stock Verification & Proses Teknikal Bahan, dan Pn. Nurrul Iza Ibrahim, Pembantu Pustakawan Kanan, membentangkan topik berkaitan Sistem Kehadiran Program Perpustakaan.
Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk menggalakkan penyebaran ilmu dalam kalangan staf perpustakaan serta memperkukuh semangat kolaboratif dalam menyokong pembangunan profesionalisme kerja. Inisiatif ini juga dilihat seiring dengan matlamat Perpustakaan Tun Dr. Ismail untuk terus memperkasa amalan pembudayaan ilmu dalam kalangan warganya.