KEMPEN DERMA DARAH PERDANA : UiTM CAKNA TAHUN 2026

ALOR GAJAH, 16 Jun 2026 – Kempen Derma Darah Perdana : UiTM Cakna Tahun 2026 telah dilaksanakan di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah bermula jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang.

Program ini dianjurkan oleh Unit Komunikasi Korporat, Unit Kesihatan dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Melaka dengan kerjasama Pusat Darah Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia, serta dilaksanakan secara serentak di seluruh UiTM Malaysia.

Kempen ini dilaksanakan sebagai usaha menyokong keperluan bekalan darah serta menyemai kesedaran terhadap tanggungjawab sosial dalam kalangan warga universiti. PTAR UiTM Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah terlibat secara langsung dalam menyediakan lokasi program, kemudahan sokongan serta membantu kelancaran pengurusan sepanjang tempoh pelaksanaan kempen. Penglibatan ini mencerminkan peranan aktif PTAR sebagai rakan strategik universiti dalam menjayakan program kebajikan dan kemasyarakatan.

Sepanjang program berlangsung, proses pendaftaran, saringan kesihatan dan pendermaan darah telah dikendalikan oleh pihak Jabatan Perubatan Transfusi Hospital Melaka dengan dibantu oleh petugas Unit Kesihatan UiTM dan sukarelawan Bulan Sabit Merah Malaysia Cabang UiTM Melaka. Pelaksanaan program berjalan dengan lancar dan teratur hasil kerjasama serta komitmen semua pihak yang terlibat.

Secara keseluruhannya, Kempen Derma Darah Perdana : UiTM Cakna Tahun 2026 telah mencapai objektif penganjuran dengan baik serta memberi impak positif kepada warga kampus. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak penganjur, rakan kerjasama dan para penderma yang telah memberikan sokongan dan komitmen dalam menjayakan program ini. Semoga segala jasa baik anda sentiasa dikenang dan diberkati.

Sekitar program sedang dijalankan

Ditulis oleh : Nur Atikah Mauzan, Pembantu Pustakawan, PTAR UiTM Cawangan Melaka

Avatar photo
Hazlin Ibrahim Khan PTAR Alor Gajah Melaka

Leave a Reply