Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM dan World Culture Organization Holdings (WCO)

Shah Alam, 17 Julai 2026 – PTAR Undang-Undang telah menjadi lokasi berlangsungnya Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan World Culture Organization Holdings (WCO). Majlis tersebut diadakan di ruang Learning Commons East (LCE), PTAR Undang-Undang.

Majlis telah disempurnakan oleh YB Senator Prof. Emeritus Datuk Seri Awang Sariyan, Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM, bersama Encik Foo Loke Kee, wakil World Culture Organization Holdings (WCO). Turut hadir memeriahkan majlis ialah Prof. Dr. Amer Syakir bin Zainol, Penolong Naib Canselor (Pemerkasaan Adiwangsa), serta para jemputan daripada UiTM dan WCO.

Pertukaran Memorandum Persefahaman ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam memperkukuh kerjasama strategik bagi memelihara, memartabatkan dan mempromosikan warisan budaya serta institusi Raja-Raja Melayu melalui pelbagai inisiatif akademik, penyelidikan, pendidikan dan kebudayaan.

Bersempena dengan majlis tersebut, satu pameran mini turut diadakan di ruang PTAR Undang-Undang yang menampilkan replika Singgahsana Diraja serta lukisan rumah Melayu tradisional. Pameran ini bertujuan memperkenalkan keunikan warisan budaya Melayu kepada warga universiti dan para pengunjung, di samping meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara khazanah sejarah dan identiti bangsa.

Majlis ini diharapkan menjadi titik permulaan kepada jalinan kerjasama yang lebih erat antara UiTM dan World Culture Organization Holdings (WCO) dalam usaha memperkasakan pemeliharaan warisan budaya dan memperluaskan impaknya kepada masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa.

Masnida Hanim Che Mahmood PTAR Shah Alam

Leave a Reply