Melaka, 10–11 Jun 2026 – Sempena sambutan Hari Pustakawan Kebangsaan 2026, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah telah menganjurkan program Explore PTAR Challenge 2026: Explore, Learn, Win yang berlangsung di PTAR Kampus Alor Gajah dari jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
Program yang berlangsung selama dua hari ini berjaya menarik penyertaan warga kampus melalui pelbagai aktiviti interaktif yang menguji kemahiran berfikir, kreativiti, literasi maklumat serta keupayaan menyelesaikan masalah dalam suasana yang menyeronokkan dan kompetitif.
Antara aktiviti yang mendapat sambutan menggalakkan sepanjang program ialah:
Flip Mania
Mind Map Mastery
Guess The Book
Borrow & Win
Code Relay
Spot The Error
Mystery Book Box
KAHOOT Challenge
Penganjuran program ini bukan sahaja menyediakan platform pembelajaran yang santai dan interaktif, malah berjaya memperkukuhkan budaya ilmu, menggalakkan penerokaan sumber perpustakaan serta meningkatkan tahap literasi maklumat dalam kalangan mahasiswa dan warga universiti.
Program ini diselaraskan oleh Puan Sariah Che Man, Pembantu Pustakawan Tertinggi, dengan sokongan dan penglibatan aktif pelajar latihan industri, Saudari Anies Arissa Mohamed Taufeek dan Saudari Farah Haziqah Ahmad, serta Ahli Jawatankuasa PTAR. Kerjasama erat, komitmen tinggi dan idea kreatif yang dicurahkan oleh semua pihak telah menjadi pemangkin kepada kejayaan program ini.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada semua peserta yang telah menunjukkan semangat kesukanan, komitmen serta keterujaan sepanjang menyertai setiap cabaran yang disediakan. Ucapan tahniah dan syabas turut ditujukan kepada jawatankuasa penganjur serta seluruh warga kerja PTAR UiTM Cawangan Melaka atas dedikasi dan usaha yang tidak berbelah bahagi dalam memastikan kelancaran dan kejayaan program ini.





Sekitar program sedang dijalankan
Ditulis oleh : Nur Atikah Mauzan, Pembantu Pustakawan, PTAR UiTM Cawangan Melaka