MACHANG, 18 Ogos 2026 – Perpustakaan Tengku Anis (PTA), UiTM Cawangan Kelantan dengan kerjasama Fakulti Sains Maklumat, UiTM Cawangan Kelantan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkal Meleret telah menganjurkan Program CSR Vitamin Ilmu Siri 6 bertajuk “Create Like a Pro: From Idea to Visual – Design Smart with NotebookLM” bertempat di SMK Pangkal Meleret, Machang.
Program pemindahan ilmu ini menampilkan Ts. Inv. Mohd Zafian Bin Mohd Zawawi, Pensyarah Kanan dari Fakulti Sains Maklumat, UiTM Cawangan Kelantan selaku penceramah utama. Sesi berimpak yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 1.30 tengah hari ini bertujuan memberikan pendedahan secara praktikal berkenaan pemanfaatan teknologi kecerdasan buatan (AI) menerusi aplikasi NotebookLM kepada para peserta.
Sepanjang sesi pelaksanaan, para pelajar didedahkan kepada strategi pengurusan maklumat digital dan analisis bahan rujukan berasaskan teknologi pintar. Penceramah turut mengupas teknik penjanaan idea serta penyusunan kandungan secara sistematik, di samping menggalakkan pengaplikasian alat digital terkini bagi menyokong proses pembelajaran dan penghasilan bahan visual secara lebih berkesan.
Bagi menguji kefahaman dan memperkukuh kemahiran yang dipelajari, para pelajar turut disajikan dengan latihan hasil pembelajaran secara interaktif. Menerusi latihan hands-on ini, peserta dapat mengaplikasikan penggunaan NotebookLM secara terus untuk menganalisis dokumen, menjana maklumat, serta menghasilkan idea visual yang kreatif dan berstruktur mengikut keperluan tugasan akademik masing-masing.
Penganjuran program ini memberi manfaat yang besar dalam meningkatkan tahap literasi digital dan kecekapan para pelajar menguruskan maklumat terutamanya dalam persekitaran pembelajaran berteraskan teknologi AI serta membimbing pelajar menghasilkan kandungan digital yang lebih berkualiti serta menyokong kemahiran pembelajaran kendiri secara optimum.
Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pengurusan SMK Pangkal Meleret, Fakulti Sains Maklumat, penceramah jemputan serta seluruh jawatankuasa pelaksana atas komitmen dan kerjasama strategik dalam menjayakan program ini. Pendedahan sedemikian diharapkan dapat memperkukuh literasi digital serta menyemai budaya inovasi dan pembudayaan ilmu berasaskan teknologi terkini.
Disediakan oleh: Nur Damia binti Yusri, Pelajar Latihan Industri PTA Kampus Machang