Program 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu Siri 12/2025 Anjuran Perpustakaan Sultan Badlishah

Merbok, 19 November 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah telah meneruskan inisiatif 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu melalui penganjuran Siri 12 bertempat di Sudut IT, Perpustakaan Sultan Badlishah. Program yang berlangsung dari jam 3.30 petang hingga 4.30 petang ini disertai seramai 19 orang staf, dengan matlamat memperkukuh budaya perkongsian ilmu dalam kalangan warga kerja perpustakaan. Program ini turut menekankan objektif utama iaitu memupuk suasana kerja kolaboratif, meningkatkan profesionalisme serta mengukuhkan kompetensi staf dalam bidang perpustakaan dan maklumat. Usaha tersebut seiring dengan aspirasi untuk menjadikan perkongsian ilmu sebagai budaya organisasi yang berterusan dan sebati dalam DNA Perpustakaan UiTM.

Perkongsian dari Puan Azizah Khasim, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan (M) (KUP)

Sesi Siri 12 ini menampilkan Puan Azizah Khasim sebagai penyampai dengan tajuk “Hala Tuju dan Pencapaian 2025 Perpustakaan Sultan Badlishah”. Dalam sesi perkongsian selama satu jam itu, beliau menghuraikan pencapaian semasa perpustakaan berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan Petunjuk Prestasi (PI) sehingga sukuan ketiga 2025. Menurut beliau, terdapat 4 KPI yang masih perlu diberi perhatian bagi memastikan ia mencapai sasaran tahunan sebelum akhir tahun. Bagi PI pula, sebanyak 13 PI menjadi tumpuan, dan sehingga sukuan ketiga, masih 6 PI yang memerlukan tindakan segera dan strategik. Puan Azizah turut menggariskan beberapa strategi pelaksanaan yang perlu diadaptasi oleh semua staf bagi memperkukuhkan pencapaian dan memastikan semua penunjuk prestasi berjaya dipenuhi menjelang sukuan keempat.

Secara keseluruhannya, Program Siri 12 ini memberikan pendedahan jelas kepada staf mengenai hala tuju strategik Perpustakaan Sultan Badlishah serta kedudukan semasa pencapaian KPI dan PI. Perkongsian ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman staf mengenai keutamaan organisasi, malah mengukuhkan komitmen mereka dalam memastikan semua sasaran dapat dicapai secara kolektif. Program ini membuktikan bahawa budaya perkongsian ilmu bukan sekadar platform pembelajaran, tetapi menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi, kesedaran strategik dan penyatuan usaha ke arah kecemerlangan perpustakaan.

Penulis : Muzammil Mustafa, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply