18 Mei 2026: Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar telah mengadakan Sesi Lawatan Tapak (Site Visit) bagi Projek Pendigitalan Teknologi RFID UHF pada 9 April 2026 (Khamis) bertempat di Perpustakaan UiTM Seri Iskandar bermula jam 11.00 pagi hingga 1.00 petang. Sesi lawatan ini melibatkan wakil daripada PTAR UiTM Shah Alam, PTAR UiTM Cawangan Perak serta Bahagian Digital UiTM Cawangan Perak bagi memastikan pelaksanaan projek pendigitalan dapat dirancang secara menyeluruh dan sistematik.
Lawatan tapak ini bertujuan untuk membuat penilaian teknikal di lokasi, mengenal pasti kesesuaian pemasangan peralatan RFID UHF serta menyelaraskan aspek pelaksanaan bersama pasukan operasi, teknikal dan wakil pembekal. Sesi ini telah diketuai oleh Puan Siti Basriyah binti Shaik Baharudin, Timbalan Ketua Pustkawan Kanan PTAR UiTM Cawangan Perak, Dr. Hajah Zalifah binti Awang Zakaria, Timbalan Ketua Pustkawan Kanan selaku Pengarah Bahagian Perpustakaan Digital PTAR UiTM Shah Alam dan Puan Nor Husaina binti Md Hussain, Ketua Bahagian Digital UiTM Cawangan Perak bersama pegawai masing – masing.
Penganjuran sesi lawatan ini merupakan langkah penting dalam memastikan pelaksanaan Projek Pendigitalan Teknologi RFID UHF berjalan lancar serta memenuhi keperluan operasi perpustakaan ke arah pendigitalan yang lebih efisien, sistematik dan berdaya saing. Diharapkan usaha dan kerjasama strategik antara semua pihak yang terlibat dapat memperkukuh penyampaian perkhidmatan perpustakaan selaras dengan perkembangan teknologi semasa serta menyokong transformasi digital universiti secara menyeluruh.





Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar