SESI LIBAT URUS PENGURUSAN REKOD BERSAMA PTJ: UNIT RESIDENSI DAN HOSPITALITI, KOLEJ INDERA SAKTI, UiTM CAWANGAN PERAK KAMPUS SERI ISKANDAR

17 November 2025: Unit Arkib Cawangan (UAC) Perpustakan Tun Abdul Razak UiTM Cawangan Perak telah meneruskan inisiatif strategik mereka dengan menganjurkan Sesi Libat Urus Pengurusan Rekod Bersama PTJ: Unit Residensi dan Hospitaliti, Kolej Indera Sakti, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar. Sesi ini telah dijalankan pada 25 Ogos 2025, bertempat di Unit Residensi dan Hospitaliti, Kolej Indera Sakti. Penganjuran ini selaras dengan haja tuju Perancangan Strategik Perpustakaan UiTM 2025 khususnya di bawah Penunjuk Prestasi (PI) 2 yang menekankan kepentingan libat urus dalam Pengurusan Rekod dan Arkib. Sesi ini berfungsi sebagai platform perbincangan rasmi bagi menyelaras prosedur kerja, menangani isu berkaitan serta memperkukuh amalan pengurusan rekod yang sistematik dan mematuhi dasar universiti.

Sesi libat urus bersama Unit Residensi dan Hospitaliti ini bertujuan utama untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga PTJ mengenai betapa kritikalnya pengurusan rekod yang teratur dan sistematik. Di samping itu, sesi ini turut fokus kepada usaha untuk memperkukuh pemahaman terhadap dasar, garis panduan serta keperluan pematuhan kepada peraturan dan undang-undang berkaitan pengurusan rekod awam. Melalui perbincangan interaktif ini, UAC dapat mengenal pasti isu dan cabaran sebenar yang dihadapi oleh PTJ dalam menguruskan rekod seterusnya mendapatkan maklum balas yang bernilai untuk penambahbaikan berterusan. Ia secara efektif menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara jabatan untuk memastikan pengurusan rekod dilaksanakan dengan lebih cekap, selamat dan berkesan.

Fokus utama perbincangan dalam sesi ini adalah berkaitan dengan proses pelupusan rekod dan kaedah pengasingan yang betul bagi rekod tidak aktif serta tamat tempoh simpanan. Pihak UAC telah memberikan penerangan ringkas mengenai prosedur rasmi pelupusan rekod iaitu penamatan tempoh simpanan rekod yang tidak lagi mempunyai nilai operasi, perundangan, kewangan atau arkib. Pihak UAC yang terlibat dalam sesi libat urus penting ini terdiri daripada Puan Nur Aqilah Binti Russli, Pustakawan Kanan dan dibantu oleh dua Pembantu Pustakawan Kanan iaitu Puan Noor Faridatul Akhma Binti Abu Bakar dan Puan Wan Fadillah Binti Mohamed Yusoff. Komitmen ini mencerminkan keseriusan pihak perpustakaan dalam memastikan tadbir urus rekod sentiasa berada di tahap optimum.

Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar

Ahmad Azmil Reza PTAR Seri Iskandar

Leave a Reply