Program 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu Siri 3/2025 Anjuran Perpustakaan Sultan Badlishah

Merbok, 16 Julai 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah terus memperkasa kemahiran stafnya melalui penganjuran Program 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu Siri 3. Program yang berlangsung dari jam 12:00 tengah hari hingga 1:00 petang di Sudut IT, Perpustakaan Sultan Badlishah ini, menyaksikan kehadiran 16 orang staf yang bersemangat menimba ilmu.

Inisiatif berterusan ini bermatlamat utama untuk memupuk budaya perkongsian ilmu dalam kalangan warga perpustakaan, mengukuhkan kepakaran dan profesionalisme staf, serta menjadikan perkongsian ilmu sebagai budaya organisasi yang sebati dengan identiti Perpustakaan Sultan Badlishah. Melalui platform ini, setiap staf diberi peluang untuk berkongsi kepakaran, mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kolaboratif dan dinamik.

Program Siri 3 kali ini memfokuskan kepada aspek kritikal dalam komunikasi pentadbiran: penulisan surat rasmi. Dua sesi perkongsian menarik telah disampaikan oleh staf perpustakaan sendiri:

Perkongsian dari Pn. Noor Azlina Mat Esoff, Pembantu Pustakawan.

Sesi pertama menampilkan Puan Noor Azlina Mat Esoff dengan tajuk “Prinsip Penulisan 4C 1P”. Puan Noor Azlina mengupas dengan terperinci lima prinsip utama untuk memastikan penulisan surat rasmi yang berkesan. Beliau menjelaskan empat ‘C’ iaitu Correct (ejaan, ganti nama, tanda baca yang betul), Clear (bahasa yang jelas dan mudah difahami), Comprehensive (fakta dan data yang lengkap), dan Concise (ayat yang ringkas, tepat, dan mudah difahami). Manakala ‘P’ pula merujuk kepada Polite (laras bahasa yang sopan dan bernada diplomasi).

Perkongsian dari Pn. Atirah Ruslan, Tim. Ketua Pustakawan.

Seterusnya, Puan Atirah Ruslan pula berkongsi ilmu mengenai “Struktur Surat Rasmi”. Dalam sesi ini, Puan Atirah memperincikan format surat rasmi yang terkini, merujuk kepada contoh-contoh surat rasmi daripada Jabatan Arkib Negara dan Mesyuarat Eksekutif Universiti (MEU) UiTM. Selain itu, beliau turut mendedahkan kesalahan-kesalahan lazim yang sering berlaku dalam penulisan surat rasmi, memberikan panduan praktikal kepada para peserta untuk mengelakkan kesilapan tersebut.

Kejayaan Program 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu Siri 3 ini diharapkan dapat meningkatkan kualiti penulisan surat rasmi di Perpustakaan Sultan Badlishah, yang merupakan cerminan profesionalisme sesebuah jabatan. Pihak pengurusan perpustakaan menekankan kepentingan latihan dan semakan berkala bagi memastikan ketepatan dan keberkesanan komunikasi rasmi sentiasa terpelihara.

Penulis : Muzammil Mustafa, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply