FORUM ZAKAT: ZAKAT BUKAN SEKADAR 2.5%

MELAKA, 16 Jun 2026 – PTAR UiTM Cawangan Melaka dengan kerjasama PPZ-MAIWP (AZKA-PPZ) dan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Cawangan Melaka telah menganjurkan Forum Zakat: Zakat Bukan Sekadar 2.5% bertempat di Ruang LCE, PTAR UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah.

Forum ini menjadi platform perkongsian ilmu dalam memperluaskan pemahaman warga universiti terhadap konsep zakat secara lebih menyeluruh, bukan sekadar berkaitan kadar 2.5 peratus, malah sebagai instrumen strategik dalam pembangunan sosioekonomi, keseimbangan sosial dan pemerkasaan kesejahteraan ummah. Program ini turut disiarkan secara langsung menerusi platform YouTube PTAR UiTM Cawangan Melaka, sekali gus membuka peluang kepada warga UiTM dan masyarakat umum untuk mengikuti sesi perkongsian ilmu ini secara dalam talian.

Menampilkan panel forum yang terdiri daripada Dr. Mohd Zaid Mustafar, Koordinator Prasiswazah dan Dr. Muhamad Taufik Md Sharipp, Pensyarah, ACIS, UiTM Cawangan Melaka. Sesi forum yang dikendalikan oleh Imam Abd Akmal Fitrie Abd Aziz, Pegawai Eksekutif, Unit Hal Ehwal Islam, UiTM Cawangan Melaka, telah mengupas secara mendalam aspek falsafah, hikmah pensyariatan serta peranan strategik zakat sebagai instrumen pemerkasaan dan pemangkin perubahan positif dalam pembangunan masyarakat. Perbincangan turut menekankan kepentingan penghayatan zakat sebagai satu amanah sosial yang mampu menyokong pembangunan masyarakat, memperkukuh nilai keprihatinan serta membina ekosistem ummah yang lebih sejahtera dan berdaya tahan. Melalui penganjuran program berteraskan ilmu ini, PTAR UiTM Cawangan Melaka terus komited dalam memperkasa budaya pembelajaran sepanjang hayat serta menyediakan ruang perkongsian yang memberi impak kepada komuniti universiti.

Zakat Bukan Sekadar 2.5% — Ia Adalah Amanah, Pemerkasaan dan Pemacu Transformasi Demi Kesejahteraan Ummah.

Sekitar program sedang dijalankan

Ditulis oleh: Nur Atikah Mauzan, Pembantu Pustakawan, PTAR UiTM Cawangan Melaka

Avatar photo
Hazlin Ibrahim Khan PTAR Alor Gajah Melaka

Leave a Reply