Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit

7 Mei 2025: Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar telah menganjurkan Program Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit bertempat di Library Community Engagement (LCE) dengan kerjasama warga perpustakaan dan fasilitator lantikan. Program ini diadakan bersempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia yang disambut pada 23 April setiap tahun yang bertujuan untuk menggalakkan pembacaan, penerbitan dan perlindungan harta intelek.

Program ini telah berlangsung bermula jam 11.00 pagi sehingga 11.10 pagi dan berjaya menghimpunkan lebih 100 peserta yang terdiri daripada mahasiswa UiTM Cawangan Perak serta pelajar jemputan dari Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Saffi, Simpang Empat, Perlis. Para peserta mengambil bahagian dengan membaca bahan pilihan masing- masing dalam suasana santai dan terkawal di bawah pemantauan petugas perpustakaan.

Program ini merupakan salah satu usaha berterusan UiTM dalam mendukung agenda pembangunan modal insan melalui galakan membaca dan penanaman nilai ilmu. Selain itu, ia bertujuan untuk memupuk minat membaca secara sukarela dan mengukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dengan komuniti luar melalui penglibatan pelajar sekolah.

Program ini turut menerima maklum balas positif daripada para peserta. Aktiviti ini telah memberi impak positif kepada semua yang terlibat bukan sahaja dari sudut pengukuhan budaya membaca tetapi juga sebagai platform jalinan kerjasama strategik pendidikan.

Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar

Ahmad Azmil Reza PTAR Seri Iskandar

Leave a Reply