23 April 2024: Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak telah menganjurkan Program Jom Baca 10 Minit 2024 bertemakan Pembacaan Melestarikan Perpaduan dengan menekankan pentingnya pembacaan dalam memupuk dan memelihara keharmonian serta perpaduan dalam kalangan masyarakat. Program tersebut berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga jam 12.00 tengahari di Dewan Seri Iskandar UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar.
Program ini telah dikelolakan oleh Puan Rafidah binti Abdul Aziz, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak dengan kerjasama Puan Siti Basriyah binti Shaik Baharudin, Timbalan Ketua Pustakawan Kanan Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM Cawangan Perak. Acara ini telah dirasmikan YB Puan Salina binti Samsudin, ADUN Behrang merangkap Timbalan Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak.
Objektif program ini adalah untuk meraikan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia serta untuk mendorong warga UiTM Cawangan Perak untuk membaca, bermula dengan langkah awal selama 10 minit sebagai tanda komitmen semua pihak terhadap kepentingan membaca dalam kehidupan. Seramai 341 orang menyertai program tersebut, terdiri daripada staf dan pelajar UiTM Kampus Seri Iskandar khususnya. PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar mengucapkan ribuan terima kasih kepada warga UiTM Cawangan Perak yang terlibat dalam menjayakan program Jom Baca 10 Minit 2024.
Disediakan oleh: Ahmad Azmil Reza bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar