18 Februari 2025: Sesi Libat Urus Pengurusan Rekod Bersama PTJ: Bahagian Infostruktur, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar telah berjaya dilaksanakan pada 20 Januari 2026 (Rabu) jam 10.00 pagi bertempat di Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar. Sesi ini merupakan satu inisiatif strategik Unit Arkib Cawangan UiTM yang bertujuan memperkukuh kefahaman serta kerjasama antara Unit Arkib dan warga kerja UiTM di peringkat cawangan, khususnya berkaitan peranan Unit Arkib dan kepentingan pengurusan rekod yang sistematik serta pematuhan kepada dasar, prosedur dan perundangan yang berkuat kuasa.
Melalui sesi libat urus ini, perkongsian maklumat dan perbincangan dua hala telah diadakan bagi mengenal pasti isu, cabaran serta keperluan pengurusan rekod dan arkib di Bahagian Infostruktur. Sesi ini turut memberi pendedahan berhubung amalan terbaik dalam pengurusan rekod, seterusnya meningkatkan tahap kesedaran, kecekapan serta pematuhan terhadap garis panduan yang ditetapkan bagi menyokong tadbir urus universiti yang lebih berkesan dan berintegriti.
Sesi libat urus ini telah dilaksanakan secara konsultasi pengurusan rekod yang merangkumi aspek tawanan rekod dan pelupusan rekod, dengan bimbingan serta khidmat nasihat diberikan berkaitan kaedah penilaian, tempoh simpanan dan tatacara pelupusan rekod selaras dengan Jadual Pelupusan Rekod. Sesi ini melibatkan pegawai Unit Arkib Cawangan PTAR UiTM Cawangan Perak iaitu Puan Noor Faridatul Akhma binti Abu Bakar dan Puan Wan Fadillah binti Mohamed Yusoff, yang telah berkongsi kepakaran bagi memastikan pengurusan rekod di jabatan berkenaan dilaksanakan secara teratur dan berkesan.


Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar