19 Mac 2025: Kursus Pelupusan Rekod dan Konsultasi Pengurusan Rekod UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar telah diadakan pada 9 Februari 2026 dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari bertempat di Library Community Engagement, UiTM Kampus Seri Iskandar. Program ini dikendalikan oleh Pustakawan Kanan dan Pembantu Pustakawan Kanan daripada Unit Arkib Cawangan, dengan penyertaan pegawai pengurus rekod serta pembantu tadbir rekod dari pelbagai jabatan di kampus.
Kursus ini bertujuan untuk memantapkan pemahaman serta meningkatkan kemahiran peserta berkaitan proses pelupusan rekod secara terperinci dan sistematik. Sepanjang sesi berlangsung, para peserta telah didedahkan dengan prinsip, konsep, aspek perundangan, kaedah serta keperluan dalam pengurusan dan pelupusan rekod universiti yang betul, selaras dengan amalan terbaik Bahagian Arkib dan Rekod Universiti serta dasar yang ditetapkan oleh Arkib Negara Malaysia.
Selain itu, sesi konsultasi pengurusan rekod turut diadakan bagi memberi ruang kepada peserta mendapatkan penerangan lanjut serta mengemukakan pertanyaan secara langsung kepada pegawai arkib. Penganjuran kursus dan sesi konsultasi ini diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para peserta dalam melaksanakan proses pelupusan rekod di jabatan masing-masing mengikut garis panduan dan keperluan yang telah ditetapkan.







Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar