
30 Mac 2026| Isnin – PTAR UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah telah menganjurkan Taklimat Perpustakaan: Information Literacy Program sebagai inisiatif memperkasa kemahiran literasi maklumat dalam kalangan pelajar baharu. Program ini melibatkan pelajar Ijazah daripada Fakulti Perakaunan (FPN), Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) serta Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), dan diadakan bersempena pendaftaran pelajar baharu. Taklimat ini merupakan sebahagian daripada pengisian Minggu Destini Siswa (MDS) dan telah berlangsung secara dalam talian melalui platform Google Meet dari jam 2.30 petang hingga 3.30 petang.
Sesi taklimat ini telah disampaikan oleh Puan Nur Atikah Mauzan, Pembantu Pustakawan dibantu oleh Puan Salina Salehin, Pembantu Pustakawan Kanan, Cik Fadhilah Fatin Long Chek, Pembantu Pustakawan serta Encik Muhammad Firdaus Aris, Pembantu Khidmat Am, PTAR UiTM Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah. Program ini dirangka secara komprehensif bagi mendedahkan pelajar kepada ekosistem maklumat perpustakaan yang holistik, merangkumi pengenalan kepada sumber rujukan yang sahih dan relevan, strategi pencarian maklumat yang sistematik dan berkesan, penggunaan PERMATA Mobile App, serta penerokaan platform digital seperti PERMATA Search.
Di samping itu, taklimat ini turut berperanan sebagai medium strategik untuk mempromosikan perkhidmatan dan aktiviti perpustakaan, meningkatkan kesedaran pelajar terhadap kemudahan serta sokongan akademik yang disediakan, serta memupuk kemahiran literasi maklumat dan pemikiran kritis yang amat penting dalam menyokong pembelajaran kendiri dan aktiviti penyelidikan sepanjang tempoh pengajian di Universiti Teknologi MARA.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Puan Nur Atikah Mauzan atas penyampaian taklimat sepanjang sesi. Diharapkan penganjuran taklimat seumpama ini dapat memperkukuh penjenamaan dan peranan strategik PTAR UiTM sebagai pusat rujukan ilmu, sekali gus menggalakkan pelajar baharu memanfaatkan sepenuhnya kemudahan perpustakaan. Usaha ini sejajar dengan aspirasi untuk melahirkan graduan yang berinformasi, berdaya saing, celik digital dan bersedia menghadapi cabaran dunia akademik serta profesional.






Sekitar taklimat disampaikan oleh penceramah
Ditulis oleh : Nur Atikah Mauzan, Pembantu Pustakawan, PTAR UiTM Cawangan Melaka