Merbok,15 November 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan Program Teambuilding 2025, bertempat di Keda Resort Bendang Man, Sik. Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 4.00 petang ini bertujuan mengukuhkan semangat berpasukan, meningkatkan jati diri warga kerja serta mewujudkan suasana kerja yang harmoni dan selesa dalam kalangan staf. Seramai 25 orang peserta, termasuk empat pelajar praktikal, telah menyertai program ini yang dirancang khusus bagi memperkukuh hubungan profesional dan memupuk kerjasama efektif antara warga PSB.

Pengisian program merangkumi pelbagai aktiviti yang dirancang untuk meningkatkan interaksi, komunikasi dan daya kepimpinan. Antara aktiviti yang dijalankan ialah sesi Ice Breaking & Kenal Pasukan, diikuti dengan senaman ringan dan regangan bagi memupuk kesegaran fizikal sebelum aktiviti-aktiviti utama bermula. Peserta kemudian dibahagikan kepada kumpulan bagi tugasan Persembahan Kumpulan melalui penghasilan video TikTok yang kreatif dan mencuit hati. Selain itu, beberapa aktiviti Fun Games turut diadakan bagi mengasah kemahiran berfikir, kerjasama dan strategi kumpulan. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja menceriakan suasana, malah berjaya menyatukan warga PSB dalam suasana yang lebih santai dan menyeronokkan.










Program turut disemarakkan dengan sesi sambutan hari lahir untuk staf yang lahir pada bulan tersebut serta sesi bertukar hadiah antara peserta sebagai simbolik penghargaan dan pengukuhan hubungan sesama rakan sekerja. Secara keseluruhannya, Program Team Building Perpustakaan Sultan Badlishah 2025 berjaya mencapai objektif dengan baik melalui pengisian aktiviti yang bermanfaat dan menghiburkan. Program ini bukan sahaja memperkukuh hubungan interpersonal dalam kalangan staf, malah meningkatkan motivasi, semangat kerja dan keharmonian dalam organisasi. Melalui penganjuran program sebegini, PSB terus komited dalam membentuk warga kerja yang kompeten, berdaya saing dan sentiasa bersedia menghadapi cabaran dunia perpustakaan moden.
Penulis : Muzammil Mustafa, Pembantu Pustakawan Kanan