Perpustakaan Sultan Badlishah Dinobatkan Bahagian Terbaik UiTM Cawangan Kedah

Sungai Petani, 16 Disember 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) melakar sejarah sekali lagi apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Bahagian Terbaik sempena Majlis Kemuncak Hari Inovasi & Kualiti UiTM Cawangan Kedah 2025 yang berlangsung pada 16 Disember lalu.

Kejayaan ini merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap dedikasi, komitmen, dan kecemerlangan berterusan seluruh warga kerja perpustakaan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga universiti. Anugerah tersebut adalah berdasarkan kepada kejayaan, anugerah dan kecemerlangan yang diperolehi sepanjang tahun 2025 terutama sekali dalam memacu budaya inovasi dan kualiti kerja yang tinggi.

Selain kejayaan kategori bahagian, beberapa kakitangan PSB turut menerima penghargaan individu atas kecemerlangan dan kesetiaan mereka. Puan Noor Azlina Hamzah telah dianugerahkan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024, manakala lima kakitangan lain menerima Anugerah Khidmat Setia 20 tahun dan 25 tahun perkhidmatan bersama UiTM.

Penerima Anugerah Khidmat Setia 20 Tahun terdiri daripada Encik Muhamad Azrul Ayob, Encik Mohd Rostam Mohamad @ Ahmad, dan Encik Rosdi Hamad Rodzi. Manakala bagi kategori Khidmat Setia 25 Tahun, penghargaan diberikan kepada Puan Mazuriah Ahmad dan Puan Norismaliza Che Oon. Dalam pada itu, Kumpulan Luminous turut menerima Anugerah Penyertaan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), sekali gus memperkukuhkan lagi profil inovasi Bahagian Perpustakaan.

Bahagian Perpustakaan turut dipilih secara rasmi sebagai penganjur Majlis Kemuncak Hari Inovasi & Kualiti UiTM Cawangan Kedah bagi tahun 2026. Pemilihan ini dilihat sebagai satu penghormatan besar dan cabaran baharu bagi mengekalkan momentum kecemerlangan yang telah dicapai.

Kejayaan ini merupakan hasil kerja berpasukan yang mantap dan semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin semangat kepada kakitangan Perpustakaan Sultan Badlishah untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada seluruh warga UiTM Cawangan Kedah.

Penulis: Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply