Tarikh: 31 Disember 2025, Rabu
Masa: 5.00 petang – 6.30 petang.
Platform: Bersemuka
Lokasi: Sudut AZKA @ Library Community Engagement (LCE), Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT)
Anjuran: Unit Perkhidmatan Perpustakaan, Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT
Penglibatan: 45 orang pelajar UiTMCT.
Dungun, 31 Disember 2025 – Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) Kampus Dungun telah menganjurkan Sesi Resensi Buku bersama Pelajar bertempat di Sudut AZKA@Library Community Engagement.
Program ilmiah ini melibatkan seramai 45 orang pelajar UiTMCT dan bertujuan memupuk budaya membaca serta menggalakkan pemikiran kritis dalam kalangan mahasiswa. Program yang berlangsung dari jam 5.00 petang hingga 6.30 petang ini dilaksanakan secara berkumpulan dengan menggunakan empat buah buku terpilih sebagai bahan bacaan.





Sepanjang sesi, pelajar diberi pendedahan mengenai kepentingan menganalisis bahan bacaan secara mendalam melalui aktiviti pembentangan resensi buku. Pembentangan merangkumi pengenalan buku, latar belakang penulis, tema utama, ringkasan isi kandungan, analisis kritikal serta pandangan peribadi terhadap mesej dan nilai yang diketengahkan.
Penganjuran program ini bukan sahaja memberi ruang kepada perkongsian idea dan pandangan, malah turut membantu meningkatkan kemahiran komunikasi serta kefahaman intelektual pelajar sejajar dengan aspirasi pendidikan tinggi. Sebagai tanda penghargaan, pihak penganjur turut menyediakan saguhati berbentuk hamper kepada semua kumpulan yang telah mengambil bahagian.



Secara keseluruhannya, sesi resensi buku ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan berkesan. Program seumpama ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi menyokong pembangunan intelektual pelajar serta memperkukuh peranan Perpustakaan Cendekiawan UiTM Terengganu sebagai nadi ilmu di kampus.
Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan.