Program Kerjasama Perpustakaan Bersama Maktab Mahmud Merbok: Program Speed Reading

Merbok, 11 Jun 2025 – Seramai 107 orang pelajar Maktab Mahmud Merbok telah menyertai Program Speed Reading yang dianjurkan oleh Perpustakaan Sultan Badlishah, Universiti Teknologi MARA (UiTM), dalam usaha memperkasa budaya ilmu dan meningkatkan kemahiran literasi dalam kalangan pelajar sekolah menengah.

Program yang berlangsung selama dua jam bermula jam 10.45 pagi hingga 12.45 tengah hari itu memberi fokus kepada pendedahan teknik dan kaedah bacaan pantas yang boleh diaplikasikan dalam pembelajaran harian. Antara objektif utama program ini termasuklah memperkenalkan konsep bacaan pantas, mengukur kadar bacaan peserta dalam unit patah perkataan per minit (ppm), serta mengenal pasti faktor-faktor yang mempengaruhi kelajuan dan kefahaman membaca.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik Perpustakaan Sultan Badlishah di bawah Perancangan Strategik Perpustakaan UiTM 2025, khususnya menyumbang kepada pencapaian Key Performance Index (KPI) 5 – Bilangan Penyertaan Program Budaya Ilmu, Performance Index (PI) 8 – Bilangan Penyertaan Komuniti Program Kolaborasi Perpustakaan, serta Performance Index UniversitiNumber of Reading and Literacy Initiatives Conducted/Coordinated by PTAR UiTM.

Program ini telah dikendalikan oleh dua kumpulan fasilitator yang diketuai oleh Puan Wan Rohani Wan Chin, Pustakawan Kanan dan Puan Atirah Ruslan, Timbalan Ketua Pustakawan, dengan bantuan beberapa orang kakitangan sokongan Perpustakaan Sultan Badlishah.

Pelajar-pelajar yang terlibat telah menunjukkan peningkatan yang ketara dari segi kecekapan dan kelajuan membaca selepas melalui sesi praktikal dan interaktif yang dijalankan. Di samping itu, mereka juga didedahkan kepada strategi mengatasi halangan membaca serta kaedah untuk mengekalkan kualiti pemahaman walaupun membaca pada kadar yang lebih pantas.

Program ini bukan sahaja berjaya mencapai objektifnya, malah turut mendapat maklum balas positif daripada peserta dan pihak sekolah. Ia dilihat sebagai satu usaha yang signifikan dalam memperkukuh budaya membaca dalam kalangan pelajar dan menyemai minat terhadap ilmu secara menyeluruh.

Pihak Perpustakaan Sultan Badlishah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah terlibat dalam menjayakan program ini, khususnya pihak pengurusan Maktab Mahmud Merbok atas kerjasama yang diberikan.

Penulis : Muhamad Azrul Ayob, Pembantu Pustakawan Tertinggi

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply