International Cultural Engagement Program

Tarikh: 4 September 2024,Rabu
Masa: 9.00 pagi – 1.00 tengah hari
Tempat: Bangunan Annex Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu
Anjuran: UiTM Global, Bahagian Perhubungan Antarabangsa, UiTM Cawangan Terengganu
Dengan Kerjasama: Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu dan Pejabat Pendidikan Daerah Dungun

Ringkasan:
International Cultural Engagement Program (ICEP) merupakan salah satu pengisian di bawah Inbound-Language & Heritage Program yang diadakan di UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT). Program ICEP ini telah berlangsung pada 4 September 2024, Rabu, bertempat di Perpustakaan UiTMCT dengan pengisian Sesi Perkongsian Budaya dari 10 orang pelajar antarabangsa di Sudut AZKA@Library Community Engagement, yang kemudian disusuli dengan pameran secara bersemuka mengenai pelbagai aktiviti kebudayaan di reruai yang disediakan di Aras 1 Bangunan Annex Perpustakaan. Dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, program ini telah menerima kunjungan seramai 149 orang pelajar sekolah daripada empat buah sekolah jemputan.


Pelajar antarabangsa yang mengikuti program ini ialah dari Universitas Islam Negeri, Salatiga, Indonesia, dan Gunma University, Japan. Turut serta mengadakan pembentangan dan pameran pada program ini ialah dua orang pelajar praktikal Perpustakaan Cendekiawan; yang mewakili negara kita memperkenalkan budaya di Malaysia. Objektif utama program ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar antarabangsa sebagai pembentang, untuk mempamerkan peralatan mahupun adat kebudayaan pilihan dari negara mereka sebagai perkongsian ilmu kepada pengunjung. Di samping itu, pelajar antarabangsa dan pengunjung yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah yang hadir juga dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi dengan berinteraksi dan bertukar pendapat untuk mendalami ilmu di sepanjang program ini berlangsung.

Pengisian program pembudayaan ilmu ini diatur dan dilaksanakan dengan baik oleh pihak penganjur untuk lebih menekankan konsep komunikasi dua hala agar ianya memberi manfaat dan impak kepada semua yang terlibat. Selain sesi perkongsian maklumat, juga terdapat sesi soal jawab serta perkongsian daripada pengunjung berkenaan keunikan budaya untuk pengetahuan bersama.

Diharapkan impak daripada penganjuran program sebegini sedikit sebanyak membantu warga UiTM dan komuniti setempat untuk lebih mengenali dan mengetahui tentang budaya Malaysia mahupun antarabangsa. Secara keseluruhannya, penganjuran program ini telah mendapat maklumbalas positif dan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan.

Syabas kepada semua yang terlibat.

Disediakan oleh:
Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan
Asmahani Abdullah, Pustakawan Kanan

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply